22 November 2026

Nikmat Sederhana Lempeng Cicah Sambal Bilis Hijau

Pinggiran Kuala Lumpur🌿..... pagi ini, meja bulat di sudut ruang tamu berseri lagi. Ditemani secawan teh o panas yang masih berwap tipis dan gubahan bunga ros merah jambu di dalam pasu hitam, tersusun cantik sepinggan lempeng lembut yang digulung kemas, lengkap bersama semangkuk kecil sambal bilis hijau.

Bagi Cik Melor, menu pagi begini bukan sekadar alas perut. Lempeng kosong yang digulung ringkas cicah pula dengan sambal bilis tumis pedas-pedas manja, itulah citarasa kampung yang paling menenangkan jiwa. Walaupun ringkas, air tangan sendiri inilah yang paling berbaloi dinikmati sambil melayan pandangan jauh ke luar jendela.

makan ni auto teringat zaman kecil musim banjir dikampung

Sambil jemari mencapai sepotong lempeng gulung, fikiran Cik Melor melayang seketika. Mengimbas kembali pelbagai warna ujian yang Allah tetapkan sepanjang perjalanan hidup ini. Macam-macam gelora dan ribut taufan yang perlu diadap satu persatu—daripada rasa duka kehilangan insan tersayang, duri tajam fitnah dan lemparan kata-kata manusia, liku-liku persidangan di mahkamah, sehinggalah saat-saat sukar apabila terpaksa keluar meninggalkan tempat berteduh yang selama ini menjadi atap tumpangan.

Berat... 'DIA' sahaja yang tahu betapa lelahnya. Kalau diletakkan pada kudrat diri yang semakin dimamah usia, rasanya jasad ini sudah lama rebah. 

Tapi di sinilah indahnya erti slow living yang Cik Melor pegang. Di saat dunia luar terasa terlalu bising dan meletihkan, meja kecil ini, secawan teh panas, dan sepinggan lempeng dengan sambal bilis hijau menjadi tempat Cik Melor berdamai dengan takdir. Setiap pahit ujian, setiap air mata yang tumpah, dan setiap kesakitan yang dipendam seorang diri, Cik Melor jadikan asbab untuk terus sujud mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari ni, Cik Melor masih bernafas. Masih mampu menikmati petang yang tenang. Ujian itu mungkin tidak nampak penghujungnya, tapi keyakinan pada rahmat "DIA' sentiasa kuat. Alhamdulillah atas segala nikmat dan rasa sabar yang dipinjamkan hari ini.

Terima kasih sudi membaca. Selamat malam dari pinggir kota💗

No comments: