Pinggiran Kuala Lumpur🌿..... ku tanyakan pada suria, ku tanyakan juga pada purnama, di manakah letaknya bahagia? Tiberrrr😆
Kadang, pertanyaan itu bermain di minda, lebih-lebih lagi apabila malam mula merangkak, dan suasana luar jendela bertukar menjadi lautan cahaya lampu pinggiran kota. Sebagai seorang yang menghabiskan sebahagian besar hari di ruang kecil, Cik Melor sering merenung adakah bahagia itu sesuatu yang besar, yang perlu dicari di tempat jauh, atau ia sebenarnya sangat dekat dengan diri kita?
Hakikatnya, seiring dengan perjalanan usia, Cik Melor sedar bahawa bahagia itu tidak pernah meminta ruang yang besar. Ia kadang hadir dalam skala yang sangat kecil, cukup sekadar menumpang di celah-celah rutin harian kita.
![]() |
| cute tak kami😉 |
Bila mula melangkah masuk ke kediaman kecil ini, misi utamanya adalah mencipta rasa damai. Dengan memilih tema minimalis berona putih dan diselang-selikan dengan hijaunya pokok hiasan seperti China Doll dan money plant di sudut ruang. Suasana terus berubah. Bahagia itu ringkas, ia ada pada pandangan mata saat melihat susunan sudut rumah yang kemas, menenangkan dan menjadi tempat kita melepas rasa penat selepas sibuk seharian.
Hati manusia memang misteri. Ada masa ombaknya tenang, ada masanya bergelora tanpa sebab. Namun, malam yang sunyi mengajar kita untuk bersyukur. Duduk di ruang yang selesa, menikmati detik sunyi sambil merenung ke luar jendela melihat kerlipan lampu malam bandar pinggiran Kuala Lumpur, sudah cukup untuk meredakan gelora rasa. Tidak perlu kata-kata yang megah, cukuplah sekadar jiwa yang redha dan bersyukur dengan apa yang ada di depan mata.
Bagi Cik Melor bahagia itu, tidak terletak pada sejauh mana kita merantau, atau sebanyak mana pujian yang kita raih di dunia maya dan nyata. Bahagia itu ada di sini, pada secangkir minuman panas, pada helaian kain yang dijahit rapi, pada deruman perlahan pinggiran kota di luar sana dan pada hati yang tenang menerima ketentuan Ilahi.
Cukup sekadar mensyukuri yang kecil, kerana dari situlah lahirnya bahagia yang sebenar.
Selamat malam besties dari pinggir kota.💗

No comments:
Post a Comment