18 November 2026

3 Generasi Di Bawah Satu Payung

Pinggiran Kuala Lumpur🌿..... tadi, masa mengemas fail-fail lama di dalam draf blog, Cik Melor terjumpa satu entri lama. Dalamnya cuma ada tajuk '3 Generasi Di Bawah Satu Payung' dan ada satu gambar yang cukup mengusik jiwa. Gambar lama, diambil sekitar 10 tahun yang lalu. Tak tahu siapa jurugambarnya.

Bila dipandang lama-lama, air mata ni mengalir tanpa sedar. Gambar tiga generasi ada adik, ada anak kita dan ada bonda tercinta. Payung warna-warni yang melindungi mereka dari terik matahari masa tu, seolah-olah menjadi saksi kepada sebuah kenangan yang kini sudah terpatri abadi dalam lipatan sejarah. 

Sebenarnya Cik Melor sendiri pun dah lupa, cerita apa yang nak di tulis masa tu. 7 tahun yang lalu di tahun 2019. Cik Melor masa itu dah mula nak berhenti menulis blog asbab sibuk dengan anak-anak dan rumahtangga. Emmm..... rinduuuuu!

sesuatu yang tidak boleh diulang kembali

Yang tengah  tu bonda Cik Melor  semestinyalah  nenek kepada  anak-anak kita😀, bonda  sudah  pun pergi  menghadap  Ilahi. Genap 8 tahun sudah  Tuhan menjemputnya  pulang. Rindunya Tuhan sahaja yang tahu.

Masa bonda ada hari-hari Cik Melor bergayut dengannya. Bonda di Kampung, Cik Melor di Kuala Lumpur. Talifonlah yang mendekatkan kami. Bila Bonda tiada Cik Melor hilang kawan bersembang. Sunyi teramat kita rasakan.

Dan si anak yang ceria memegang payung dalam gambar tu? Sekarang usianya sudah mencecah 30-an. Dah 3 orang anaknya. Cepat sungguh masa berlalu. Bayang-bayang kecil dulu kini sudah dewasa, berjalan di lorong kehidupannya sendiri.

Manakala yang bercermin mata itu, anak sulong Cik Melor. Sekarang dah jadi anak dara Tak lama lagi akan menamatkan pengajiannya di universiti.

Cik Melor publishkan entri yang tertangguh ni kerana di situ ada kenangan. Kali ini bukan sekadar merakam memori. tapi kerana Cik Melor sedar, masa tak boleh diputarkan kembali. Wajah-wajah yang ada hari ini, belum tentu ada di sisi pada hari esok.

Al-Fatihah buat bonda. Semoga rohnya tenang di sana, dan semoga coretan kecil ini menjadi pengubat rindu buat Cik Melor setiap kali memori dan coretan ini dipandang dan dibaca.

Selamat malam dari pinggir kota besties💗

No comments: